Subscribe:

Pages

Saturday, 8 September 2012

Bukit Tebuk Terowong Bersejarah

Assalamualaikum w.b.t. pembuka bicara..

Bukit Tebuk  cukup sinonim dengan penduduk negeri Terengganu khususnya penduduk daerah Dungun pada suatu masa dahulu. Bukut Tebuk ini merupakan salah satu tempat yang telah diwartakan sebagai tempat bersejarah di Dungun Terengganu. Bukit ini telah ditebuk untuk dibuat terowong laluan kereta api pada suatu masa dahulu. Sebab itulah ianya dikenali sebagai Terowong Bukit Tebuk. Lokasinya terletak di Kampung Nibong Kubur.

Terowong Bukit Tebuk pada suatu ketika dahulu (Sumber : Google)

Terowong Bukit Tebuk ini dibina pada tahun 1935 dan siap pada tahun 1936 dan digunakan sebagai laluan kereta api mengangkut bijih besi dan pelombong dari Bukit Besi ke pelabuhan Sura Gate yang terletak di Pantai Teluk Lipat. Laluan kereta api ini telah dihentikan operasinya sekitar tahun 1970an selepas lombing bijih besi di Bukit Besi ditutup. Namun terowong ini masih digunakan lagi pada maa sekarang cuma fungsinya sahaja yang telah berbeza. Penduduk sekitar menjadikan terowong ini sebagai laluan alternatif untuk ke jalan utama Kuantan - Kuala Terengganu bagi mengelak kesibukkan di pusat bandar dan juga laluan penduduk untuk ke Bandar Dungun.

Tinjauan penulis pada Hari Raya Aidilfitri yang lepas mendapati salah satu tempat yang telah diwartakan sebagai tempat bersejarah di Terengganu ini bagaikan terabai tanpa penjagaan dengan sampah sarap yang dibuang oleh pihak yang tidak bertanggung jawab. Kawasan bersejarah ini perlulah dijaga kerana Terowong Bukit Tebuk inilah satu-satunya terowong yang menjadi laluan kereta api yang mengangkut bijih besi dan pelombong pada suatu ketika dahulu dan masih kekal hingga kehari ini walaupun lombong bijih besi sudah lama ditutup.

Penulis bergambar kenangan di Bukit Tebuk

Rakan penulis yang ketika itu turut bersama penulis melawat kawasan ini juga melahirkan pendapat yang sama. Beliau yang juga merupakan seorang pelancong dari Selangor amat teruja apabila melawat kawasan ini. Beliau yang telah beberapa kali melancong ke Terengganu namun baru mengetahui wujudnya Bukit Tebuk ini terus membuat keputusan untuk melawat kawasan ini dan ternyata kawasan ini mempunyai daya tarikan yang tersendiri.

Bukit Tebuk sekarang dalam mode hitam putih

Masih ramai yang tidak menyedari kewujudan tempat bersejarah ini. Tidak terkejut sekiranya penduduk negeri Terengganu khususnya penduduk daerah Dungun sendiri tidak mengetahui sejarah Bukit Tebuk ini. Oleh itu pihak berkenaan perlu menggiatkan lagi promosi supaya Bukit Tebuk ini dikenali dan dikunjungi ramai terutama pencinta sejarah.


(Oleh : Mohd Firdaus Bin A Wahab 8/9/2012)

2 comments:

Post a Comment