Subscribe:

Pages

Monday, 29 November 2010

Ketrampilan diri


Ramai pelajar yang agak malu apabila dijemput untuk naik ke pentas
atau diminta tampil di depan khalayak sama ada untuk berucap,
berpidato atau membuat persembahan. Lazimnya, pelajar akan saling
tolak-menolak menyuruh rakannya untuk ke hadapan. Alangkah ruginya
pelajar itu kerana mensia-siakan peluang keemasan yang diberikan
kepadanya.

Sebenarnya masalah malu untuk berkomunikasi secara formal sudah
menjadi budaya dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan juga murid
sekolah rendah. Malah budaya ini terbawa-bawa hinggalah ke peringkat
institusi pengajian tinggi (IPT). Budaya yang negatif ini sewajarnya
dibendung di peringkat sekolah rendah.

Pelajar mungkin beranggapan ia satu perkara yang remeh tetapi
hakikatnya ia adalah satu proses ketrampilan diri yang mampu
mempengaruhi motivasi diri dalam pembelajaran. Antara ciri-ciri
pembentukan ketrampilan diri ialah:

• Keberanian: Seseorang pelajar yang berketrampilan ialah mereka yang
berani muncul di hadapan untuk memberi pendapat, membuat persembahan
atau sekurang-kurangnya memberi jawapan apabila ditanya atau secara
sukarela.

• Aras harga diri yang sihat: Kemunculan diri menjadikannya merasai
bahawa ia dihargai. Dengan secara tidak lansung akan meningkatkan aras
harga diri yang sihat iaitu satu sikap menghargai potensi yang ada
pada diri serta mengambil peluang melakukan tindakan yang positif ke
arah kemajuan diri dan juga memberi sumbangan kepada orang lain.

• Menjana minda: Apabila seseorang murid itu sentiasa menggalakkan
dirinya berinteraksi maka mindanya akan sentiasa bergerak untuk
mencari buah fikiran yang baru. Dengan cara ini seseorang pelajar
dapat memperkayakan daya pemikirannya yang seterusnya mampu
membantunya dalam peperiksaan nanti.

• Berdaya saing: Pelajar-pelajar boleh melibatkan diri dalam berbagai
aktiviti seperti aktiviti dalam bilik kuliah yang berkaitan dengan
pembelajaran ataupun dalam aktiviti luar bilik kuliah seperti dalam
sesuatu pertandingan atau menjawat sesuatu jawatan dalam persatuan.
Aktiviti seumpama ini boleh mewujudkan semangat berdaya saing secara
sihat. Semangat seperti ini amat diperlukan kerana ia boleh
meningkatkan daya kreativiti serta keinginan untuk berlumba-lumba
melakukan sesuatu yang terbaik ke arah kejayaan.

• Peningkatan kemahiran: Kemahiran berkomunikasi, kemahiran berbahasa
serta kemahiran dalam pengucapan awam memerlukan penglibatan murid
dalam sesuatu aktiviti. Penglibatan ini penting kerana ia merupakan
satu bentuk latihan amali yang perlu dilakukan. Kekerapan penglibatan
seseorang pelajar akan dapat memperbaiki kesilapan yang dilakukan
serta memperkembangkan potensi dan kemahiran diri.

Sesungguhnya setiap pelajar harus mempunyai ciri-ciri ketrampilan diri
tersebut. Ia merupakan satu keperluan terhadap diri sendiri dalam
mencapai cita-cita dan memenuhi aspirasi negara.

2 comments:

suzie rahman said...

wawawa...xberani nk komen ms sekolah dulu suzie mmg amat2 malu.till now walaupon dh bnyk presentation kt cls..wuwuw.xtaw cne ni hilg kn rs malu tu.tp klu xmalu pon ssh..kiki.nice post.

Mohd Firdaus said...

hahaha..sama la kite..tp malu biar bertempat..hehee

Post a Comment